CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Thursday, April 23, 2009

MEMILIH SAHABAT


المرء على دين خليله,
فلينظر احدكم من يخالل

Seseorang itu mengikut cara hidup sahabatnya,
oleh itu hendaklah seseorang kamu melihat terlebih dahulu
siapakah yang patut dijadikan sahabat.


الجار قبل الدار, والرفيق قبل الطريق.

Perhatikanlah jiran sebelum mendirikan rumah,
Dan pilihlah kawan sebelum bepergian.


MENGAPA KITA PERLU MEMILIH SAHABAT.


الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو الا المتقين

Teman-teman karib pada hari itu
sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain
kecuali orang-orang yang bertaqwa.

[ Surah az-Zuhruf : Ayat 67 ]


ما من صاحب يصحب صاحبا ولو ساعة من نهار إلا سئل عن صحبته يوم القيامة هل أقام فيها حق الله أو أضاعه

Setiap kawan yang bersahabat dengan kawan yang lain,
walaupun sekejap masa sekalipun,
melainkan ia akan ditanya tentang persahabatannya di hari qiamat,
apakah ia telah menunaikan hak persahabatannya itu dengan baik,
atau ia telah mensia-siakannya.


PANDUAN MEMILIH KAWAN
BIDAYATUL HIDAYAH OLEH IMAM AL-GHAZALI


1. Hendaklah berkawan dengan orang yang memiliki akal fikiran yang waras. Dan jangan berkawan dengan orang yang mempunyai akal yang lemah, jahil dan lagi bodoh. Kerana orang yang bodoh akan membawa kepada permusuhan dan menyakitkan hati kita.


2. Hendaklah berkawan dengan orang yang mempunyai budi pekerti yang luhur dan akhlak yang mulia lagi terpuji. Jangan berkawan dengan orang yang jahat, keji, hina lagi dihinakan.


3. Hendaklah berkawan dengan orang yang mempunyai perjalanan hidup yang baik, mengerjakan amal soleh. Jangan berkawan dengan orang yang fasiq, yang selalu mengerjakan dosa besar, tidak takut kepada Allah. Kerana dia akan menghilangkan kebencian kita terhadap maksiat dan kita merasa ringan memandang maksiat.


4. Hendaklah berkawan dengan orang yang tidak menggantungkan hidupnya dengan dunia. Jangan berkawan dengan orang yang tamakkan dunia. Kerana orang yang tamak akan menambah tamak kita terhadap dunia.


5. Hendaklah berkawan dengan orang yang bercakap benar. Jangan berkawan dengan orang yang pendusta, suka berbohong. Kerana orang yang berbohong, dia akan menipu kita.



MENGENALI CIRI-CIRI SAHABAT YANG BAIK.


Alqamah telah menghimpunkan Ciri-Ciri sahabat yang baik dalam wasiatnya kepada anaknya ketika hendak mati. Alqamah berkata kepada anaknya : Wahai puteraku! Sekiranya engkau merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang maka hendaklah memilih teman-teman yang memiliki sifat-sifat yang berikut :-


1. Jika kamu berbakti kepadanya,
Dia akan melindungi kamu.

2. Jika kamu ditimpa bencana,
Dia akan melakukan sesuatu untuk menghilangkan dan
meringankan kesusahan kamu.

3. Jika kamu menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya,
Dia akan menerima dengan baik.

4. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan atau kebaikan daripada kamu, Dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.

5. Jika kamu berkata kepadanya,
Dia akan membenarkan kata-kata kamu.

6. Jika kamu merancangkan sesuatu,
Dia akan membantu kamu dengan memberi pandangannya.

7. Jika kamu berselisih faham dengannya,
Dia lebih senang mengalah untuk menjaga persahabatannya
dengan kamu.

8. Jika kamu rapatkan persahabatan dengannya,
Dia akan membalas baik persahabatan kamu itu.

9. Jika kamu memerlukan pertolongan daripadanya,
Dia akan membantu kamu.

10. Jika kamu meminta sesuatu bantuan atau pertolongan daripadanya,
Dia akan segera mengusahakannya.

11. Jika kamu berdiam diri atau kerana malu untuk meminta sesuatu darinya,
Dia akan menanyakan kesusahan kamu.

12. Jika kamu bersahabat dengannya,
Maka akan bertambah ilmu dan amal kamu terhadap Allah.

No comments:

Post a Comment