CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Friday, June 5, 2009

PERCUTIAN KE PULAU PANGKOR

Pada 3-5 Jun 2009
Dihadapan Anjungan Beach Resort sebelum mula aktiviti mandi laut.
Siap sedia nak mandi dah ni...........
Berehat setelah habis pusingan pertama
Bersedia untuk pusingan seterusnya.

Peniaga dikesan campur aduk jual ayam sembelih, cucuk

Berita Harian
Sabtu, 06 Jun 2009|12 Jamadilakhir 1430

ALOR SETAR: Umat Islam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika membeli ayam berikutan ada segelintir peniaga bertindak mencampurkan ayam disembelih dan dicucuk ketika dijual.Perbuatan peniaga terbabit terbongkar dalam satu operasi khas yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kesihatan di Pasar Tunku Abdul Halim, Jalan Teluk Wanjah, di sini. 

Datuk Bandar, Datuk Khazali Din, berkata peniaga terbabit berusia 60 tahun dan bukan beragama Islam dikesan menjual ayam yang disembelih dan dicucuk secara bercampur aduk menyebabkan kemungkinan pengguna beragama Islam terkeliru.

"Kemungkinan ada pengguna beragama Islam terbeli ayam yang dicucuk kerana ia dicampur aduk dengan ayam disembelih. 

"Berikutan itu, MBAS membatalkan lesen peniaga terbabit sebagai peringatan supaya tidak mengambil remeh perkara berkenaan. Kita turut merampas 63 ekor ayam daripada peniaga terbabit," katanya di sini, semalam. 

Beliau berkata, operasi itu dilakukan selama kira-kira tiga jam bermula jam 3 pagi semalam di beberapa lokasi, termasuk Pasar Besar Alor Setar dan Pasar Kampung Berjaya.

Khazali berkata, dalam operasi itu pihaknya turut mengeluarkan kompaun maksimum RM300 kepada 12 peniaga ayam kerana tidak mematuhi syarat kebersihan yang ditetapkan serta tidak memiliki lesen. 

Katanya, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976. 

"Peniaga yang didapati mengabaikan aspek kebersihan tempat penyembelihan diarah menutup perniagaan selama dua minggu bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan. MBAS akan memantau kerja pembersihan berkenaan sebelum mereka dibenarkan beroperasi semula. 

"Kita juga mengarahkan peniaga yang tidak memiliki lesen mengemukakan permohonan sebelum dibenarkan meneruskan perniagaan," katanya.

Monday, June 1, 2009

Limau Bali Jelapang Padi

Oleh SHAH NIZAM OMAR

Terdapat kira-kira 15 buah gerai menjual limau Bali di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Kampung Padang Halban, Changlun, Kedah.


HALIJAH OMAR menunjukkan isi buah limau Bali yang berwarna merah.


SIAPA yang tidak mengenali limau Tambun atau limau Bali yang begitu popular di Perak? Sudah menjadi satu kemestian bagi orang ramai yang singgah di Ipoh untuk membeli limau Bali sebagai buah tangan apabila berkunjung di bandar raya ini.

Namun, jangan terkejut jika limau Bali juga popular di negeri Kedah Darul Aman yang turut dikenali sebagai Jelapang Padi di Malaysia.

Jika anda melalui Lebuh Raya Utara- Selatan dari Bukit Kayu Hitam menghala ke bandar raya Alor Setar, Kedah, jangan lepaskan peluang berhenti sebentar di situ.

Ini kerana terdapat kira-kira 15 buah kedai menjual limau Bali di sepanjang lebuh raya itu di kampung berkenaan.

Anda juga tidak perlu risau tentang kebarangkalian buah limau Bali itu tidak dijual kerana ia berbuah sepanjang tahun dan tidak bermusim.

Menurut salah seorang penjual, Halijah Omar, 61, limau Bali dari negeri ini tidak kurang popularnya dalam kalangan pengunjung luar.

Katanya, faktor lokasi jualan yang terletak di laluan utama ke pulau Langkawi melalui jeti Kuala Perlis dan kewujudan beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk Universiti Utara Malaysia menyebabkan kawasan gerai jualan limau Bali ini tidak putus-putus menerima kunjungan ramai.


GERAI menjual limau Bali di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Kampung Padang Halban, Changlun, Kedah.

Sunday, May 31, 2009

SEJARAH DOA ANGIN AHMAR

SUNDAY, MARCH 9, 2008

nuursyifa.blogspot.com

Penyakit Angin Ahmar ialah penyakit mati sebahagian badan, yang biasanya datang dengan tiba-tiba dan sukar pula untuk diubati. Walau bagaimana pun dengan rahmat dan belas kasihan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya maka melalui Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam umat Islam dikurniakan Doa yang sangat mustajab dan besar faedahnya bagi menjauhi penyakit tersebut disamping lain-lain penyakit berbahaya dan bala bencana.


Penyakit Angin Ahmar ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri, telah ada semenjak zaman Nabi Sulaiman a.s..Semasa baginda menerima mengadap segala rakyatnya termasuk segala jin, manusia dan binatang, tiba-tiba baginda merasa ujub atau bangga diri; dalam hatinya berkata siapakah makhluk Allah yang tidak mahu tunduk kepadanya.

Seketika itu juga menjelma satu makhluk seperti lembaga manusia, yang besar, gagah dan hebat serta garang. Nabi Sulaiman terkejut dan menggeletar lalu bertanya kepada lembaga itu siapakah dia, dan mengapa ia datang. Lembaga itu menjawab bahawa dia bernama Ar-Raihul-Ahmar (Angin Ahmar) iaitu penyakit yang amat berbahaya dari lain-lain penyakit. Ia diberi kuasa untuk mendatangkan kesakitan kepada anak cucu Adam, termasuk boleh meresap masuk ke dalam urat saraf dan darah, dan juga otak seseorang hingga hilang akal.

Nabi Sulaiman segera mengarahkan panglima-panglimanya agar membunuh Ar-Raihul-Ahmar itu; namun lembaga itu menjawab bahawa tiada sesiapa makhluk yang boleh membunuhnya, lalu segera menghilang. Angin Ahmar itu masih ada hingga zaman Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam dan zaman kita sekarang. Pada zaman Nabi Muhammad cucu baginda iaitu Saiyidina Hassan bin Ali pernah terkena penyakit rongga dan keluar darah. Ketika itu turun Malaikat Jibril dan memberitahu baginda bahawa Hassan terkena penyakit Angin, lalu baginda bertanya adakah ubat penawarnya. Jibril menjawab ada lalu ghaib. Sebentar kemudian Jibril kembali dan memberitahu Rasulullah, bahawa Allah SWT telah mengurniakan Doa mustajab bagi sesiapa yang membacanya walau pun sekali seumur hidupnya. Baginda pun membaca doa ini; lalu dengan sebentar itu juga sembuhlah Saiyidina Hassan, boleh berdiri dan sihat walafiat. Baginda lalu menganjurkan kepada para sahabat agar mengajarkan Doa ini kepada umat Islam sekalian.

Mereka yang terkena penyakit Angin Ahmar ini hendaklah berusaha mengamalkan membaca Doa ini seberapa kerap, terutama selepas solat. Setengah ulama menulis Doa tersebut dengan dakwat pada mangkuk atau pinggan putih; kemudian dibasuh dengan air lalu sebahagiannya diminum dan sebahagiannya disapukan pada anggota yang terkena penyakit tersebut. Yakinilah doa ini, kerana dengan keyakinan itu insya-Allah mereka yang terkena penyakit Angin Ahmar itu akan segera sembuh, terutama bagi yang belum terlalu berat penyakitnya.

Amalkanlah membaca Doa ini selalu, paling kurang sekali seumur hidup, insya-Allah akan terhindar dari penyakit yang berbahaya ini.


DOA MOHON DIJAUHI DAN DISEMBUHKAN DARI PENYAKIT ANGIN AHMAR 







Maksudnya:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; dan dengan-Nya kami memohon pertolongan; dan dengan Allah; dan dari Allah; dan kepada Allah; dan segala pujian tertentu bagi Allah; dan tiada Tuhan melainkan Allah; dan Allah Maha Besar, yang Maha Mulia dan Maha Agung; yang aku takut dan bimbang terhadap-Nya. Allah Maha Besar dengan segala kebesaran-Nya; segala pujian tertentu bagi Allah, sebanyak-banyak pujian. Dan Maha Suci Allah pagi-pagi dan petang-petang. Dengan nama Allah yang menyembuhkan, dengan nama Allah yang mencukupkan; dan dengan nama Allah yang menyihatkan; dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tiada memberi mudharat sesuatu apa jua di bumi dan di atas langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan Kami turunkan sesetengah dari Al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.

Ya Allah, aku yang menjampi dan Engkau yang menyembuhkan. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah Engkau takdirkan. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Aku berlindung dengan Allah, Tuhanku dan Penciptaku, Pembentukku dan Pencipta Rupabentukku dan Pemberi Rezeki sekalian manusia. Aku berlindung dengan Allah daripada sekalian kebinasaan, dan segala maksiat, bala bencana, penyakit dan segala kesakitan, kemalasan, kemunduran dan kebinasaan.

Ya Allah, lindungilah penanggung (pengguna) suratku ini dengan nama-Mu yang Maha Mulia dan Maha Agung; dan sifat-sifat-Mu yang sempurna, wahai Yang Mempunyai Kebesaran dan Kekayaan. Wahai Tuhan yang memiliki kerajaan dan alam malakut; wahai Tuhan yang memiliki keagungan dan kegagahan. Maha Suci Engkau, alangkah besarnya Engkau wahai pencipta segala langit dan bumi. Wahai Tuhan tempat berlindung mereka yang menyesal (akan dosa-dosa mereka); wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang-orang miskin; wahai Tuhan pemilik kebesaran dan kekuasaan, wahai Tuhan yang mempunyai belas kasihan dan memberi kebajikan dan Ihsan; wahai Tuhan yang banyak kasih sayang, wahai Tuhan yang banyak memberi; wahai Tuhan yang Maha Gagah dan tiada sesiapapun yang mampu mengalahkan-Nya; wahai Yang Melindungi dan Dia tidak memerlukan perlindungan, aku berlindung dengan-Mu dari azab ke atas badan dan kesempitan; dan aku berlindung dengan-Mu dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit yang besar yang menimpa ke atas diri dan roh, darah dan daging, tulang dan kulit, urat dan urat saraf.

Maha Suci Engkau; yang apabila Engkau menghendaki sesuatu maka Engkau hanya mengatakan “Jadilah! Maka jadilah ia”. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Wahai Tuhan yang menjadikan; wahai Tuhan yang membuat kebajikan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai Tuhan yang Maha Adil, wahai Tuhan yang Berdiri dengan Keadilan, wahai Tuhan yang mendengar tangisan orang-orang yang meminta pertolongan. Wahai Tuhan yang memulakan (dari tiada kepada ada), wahai Tuhan yang mengembalikan, wahai Tuhan yang menolak, wahai Tuhan yang Mencukupkan. Wahai Tuhan yang menyembuhkan, wahai Tuhan yang meng’afiatkan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan terhadap orang yang memohon pertolongan.

Wahai Tuhan yang menerima kesyukuran, wahai Tuhan yang banyak memberi balasan atas kesyukuran. Wahai Tuhan yang Maha Kasih Sayang, wahai Tuhan yang Maha Belas Kasihan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Agung, wahai Tuhan yang mendahulukan, wahai Tuhan yang mengkemudiankan. Wahai Tuhan yang hidup, wahai Tuhan yang berdiri dengan sendiri-Nya, yang membalas mereka yang jujur dengan balasan ke atas tiap-tiap diri dengan apa yang mereka usahakan. Wahai Tuhan yang memerintahku, wahai Tuhanku yang memiliki aku, wahai Tuhan yang memberi perlindungan.

Wahai yang Maha Mengetahui sesuatu yang kami sembunyikan dan kami dedahkan; wahai Hakim yang menjatuhkan hukuman, wahai Tuhan yang memerintah sekalian orang-orang yang beriman; wahai Tuhan pembantu orang-orang yang dhaif dan miskin; wahai Tuhan yang Mencukupi keperluan orang-orang yang bertawakkal.

Wahai Tuhan yang mendatangkan malam ke atas siang dan siang ke atas malam; wahai Tuhan yang Gagah (mengalahkan) setiap syaitan yang sangat durhaka, wahai Tuhan yang mengalahkan setiap orang yang sombong lagi degil; wahai Tuhan sebaik-baik Pemerintah; wahai Tuhan yang sebaik-baik memberi pertolongan, wahai Tuhan yang memberi rezeki kanak-kanak yang kecil, wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang tuan (yang sangat tua), wahai Tuhan yang memerintah orang-orang yang beriman; wahai Tuhan bagi orang-orang yang dahulu dan orang-orang yang kemudian; wahai Tuhan yang pengasih kepada orang-orang yang bertaubat, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari kalangan yang mengasihi. Wahai Tuhan sebaik-baik pengampun dari yang mengampuni; wahai Tuhan sebaik-baik pewaris; wahai Tuhan sebaik-baik Pemberi Keputusan; wahai Tuhan yang memerintah pada Hari Pembalasan.

Ya Allah, hanya Engkaulah yang aku sembah dan hanya kepada Engkaulah aku memohon pertolongan. Dan kepada-Mu aku bertawakkal. Dan kepada-Mu aku gemar dengan apa yang ada di sisi-Mu. Kepada-Mu aku berharap dan hanya Engkau yang aku takuti. Ya Allah, peliharalah aku dari segala kepayahan hidup dan penyakit-penyakit dan segala kesakitaan dan kesusahan dan darah hitam.

Ya Allah, peliharalah aku dari penyakit yang merbahaya dan dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit darah kuning, dan segala kebinasaan dan segala maksiat dan pengsan, dan kerungsingan dan kesedihan dan dukacita dan dari di penjara. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan binatang buas, dan binatang yang melata, serta permusuhan (benci membenci) orang awam, dan dari kekalahan dan kejahatan syaitan; dan raja, kemarau, kemahalan barang keperluan, dan gempabumi, dan bala bencana, dan keruntuhan bangunan, dan serangan musuh. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan orang-orang yang jahat dan tipudaya orang-orang yang melampau, dan dari sesuatu yang silih berganti atasnya oleh malam dan siang melainkan yang datang itu adalah dengan baik, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan setiap kejadian yang Engkaulah pemegang ubun-ubunnya; sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang tegak dan lurus. Engkau ialah Tuhanku dan di atas Engkau jua aku bertawakkal, dan Engkaulah yang Mencukupkan aku, dan sebaik-baik yang Mewakili, sebaik-baik Pemerintah dan sebaik-baik yang Memberi Pertolongan. Dan tiada daya upaya bagiku melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Dan cukuplah kami oleh Allah, dan sebaik-baik yang mewakili sebagai Pemerintah dan Engkau sebaik-baik pemberi pertolongan. Allah yang mencukupkan, Allah yang menyembuhkan, Allah yang memberi a’fiat. Dan ucap selawat oleh Allah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya; selamat sejahtera; dan segala pujian bagi Allah Tuhan Pemerintah Seluruh Alam. Amiin…


Saturday, May 30, 2009

Penipuan iblis di syurga

UTUSAN MALAYSIA
BICARA AGAMA
ARKIB : 29/05/2009

IBLIS selalu berikhtiar untuk masuk ke dalam syurga kembali dan menggunakan tipu muslihatnya untuk memperdayakan Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Pada suatu ketika, iblis berjaya masuk ke dalam syurga lalu bertemu dengan Nabi Adam dan isterinya.

Iblis mula menggoda dan memujuk Nabi Adam dengan berkata, "Wahai Adam! Aku datang untuk memberi nasihat yang baik kepadamu. Mahukah engkau aku tunjukkan bahawa di sana itu ada sepohon pokok yang sangat enak dan lazat rasa buahnya?

Apabila buah yang lazat itu engkau makan, maka engkau akan dapat tinggal di dalam syurga ini buat selama-lamanya, dan syurga ini dapat engkau miliki sebagai satu kerajaan yang tidak akan rosak buat selama-lamanya bagi engkau berdua."

Buah

"Buah apakah yang engkau maksudkan itu?' tanya Nabi Adam kepada iblis.

Iblis pun menunjukkan ke arah pokok khuldi yang dilarang oleh Allah untuk memakannya. Melihat isyarat iblis itu, tahulah Nabi Adam bahawa Iblis sudah mulai menggoda dan menyesatkannya. Lalu Nabi Adam berpaling dan menjauhkan dirinya daripada iblis itu.

Namun begitu, iblis masih tidak berputus asa. Ia mengambil kesempatan sekali lagi untuk bertemu dengan Adam dan isterinya.

Segera ia memujuk dengan mengatakan bahawa Allah melarang makan buah khuldi sekiranya Adam dan isterinya adalah malaikat. Tetapi mereka bukan malaikat, maka bolehlah mereka memakan buah tersebut.

Nabi Adam dan isterinya tidak menghiraukan pujukan halus iblis itu. Malah kedua-duanya berpaling dan menjauhkan diri daripada Iblis itu.

Iblis tetap tidak berputus asa. Walaupun ia gagal dalam usaha pertama dan kedua, tetapi ia tetap berusaha untuk kali ketiga, keempat dan seterusnya sehinggalah dapat menyesatkan dan menggoda Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Iblis tahu bahawa salah satu kelemahan manusia ialah sering lupa. Iblis sentiasa menunggu suatu waktu apabila Adam dan isterinya akan terlupa dan memakan buah yang dilarang itu.