Sabtu, 06 Jun 2009|12 Jamadilakhir 1430
ALOR SETAR: Umat Islam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika membeli ayam berikutan ada segelintir peniaga bertindak mencampurkan ayam disembelih dan dicucuk ketika dijual.Perbuatan peniaga terbabit terbongkar dalam satu operasi khas yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kesihatan di Pasar Tunku Abdul Halim, Jalan Teluk Wanjah, di sini.
Datuk Bandar, Datuk Khazali Din, berkata peniaga terbabit berusia 60 tahun dan bukan beragama Islam dikesan menjual ayam yang disembelih dan dicucuk secara bercampur aduk menyebabkan kemungkinan pengguna beragama Islam terkeliru.
"Kemungkinan ada pengguna beragama Islam terbeli ayam yang dicucuk kerana ia dicampur aduk dengan ayam disembelih.
"Berikutan itu, MBAS membatalkan lesen peniaga terbabit sebagai peringatan supaya tidak mengambil remeh perkara berkenaan. Kita turut merampas 63 ekor ayam daripada peniaga terbabit," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, operasi itu dilakukan selama kira-kira tiga jam bermula jam 3 pagi semalam di beberapa lokasi, termasuk Pasar Besar Alor Setar dan Pasar Kampung Berjaya.
Khazali berkata, dalam operasi itu pihaknya turut mengeluarkan kompaun maksimum RM300 kepada 12 peniaga ayam kerana tidak mematuhi syarat kebersihan yang ditetapkan serta tidak memiliki lesen.
Katanya, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
"Peniaga yang didapati mengabaikan aspek kebersihan tempat penyembelihan diarah menutup perniagaan selama dua minggu bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan. MBAS akan memantau kerja pembersihan berkenaan sebelum mereka dibenarkan beroperasi semula.
"Kita juga mengarahkan peniaga yang tidak memiliki lesen mengemukakan permohonan sebelum dibenarkan meneruskan perniagaan," katanya.
No comments:
Post a Comment