CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Sunday, May 17, 2009

Melihat masalah secara mikro

03.10.2003 [Portal Pendidikan Utusan]
Oleh: Wahid Hashim

DARAB, bahagi, campur dan tolak dalam menyelesaikan masalah disiplin di sekolah-sekolah masih belum bertemu rumusnya. Konsep pengetahuan, kemahiran dan nilai hanya tercerna dalam item-item kertas soalan, tetapi bukan di dalam diri pelajar.
Pelajar yang tidak berpengetahuan, tidak menguasai sebarang kemahiran atau masih kabur apakah nilai-nilai pada dirinya, juga boleh menduduki kertas soalan peperiksaan. Mereka gagal, dan akhirnya menjadi produk sistem pendidikan yang tidak menunjukkan contoh yang baik. Skor mata pelajaran yang dinilai dengan 1A, 2A atau 12 A, tidak memberi sebarang makna kepada pelajar.

Pada hakikatnya, berapa `RM' lebih bernilai daripada berapa `A'. Mungkin kerana itu, pelajar- pelajar lebih berminat bekerja sebagai pembantu pam minyak, promoter pusat-pusat membeli belah atau pelayan restoran-restoran segera berbanding menghabiskan persekolahan sehingga ke tingkatan lima.

Kejayaan akademik ada nikmatnya, tetapi ia bersifat abstrak, bukan maujud. Ia nampak di mata, tetapi tidak boleh dirasa dengan tangan.

Kita masih gagal mentamsilkan kejayaan dengan objek lain selain daripada duit.
Di Malaysia, konsep kausal dalam pendidikan tidak jelas. Ia mungkin ada kaitan dengan kegagalan kita menyampaikan maksud dengan jelas dan berterus-terang.

Falasi adalah darjah keralatan ketika menyampaikan sesuatu mengikut logik.
Untuk menjelaskan kelogikan, perlu ada tesis, premis utama, premis kecil dan kesimpulan.

Cuba kita lihat retorik politik dan penerimaan oleh pelajar. Kita sering menggambarkan negara kita kaya, makmur, dan selamat.

Premis utama yang boleh diterima oleh para pelajar dan guru-guru kita ialah negara kita makmur, negara kita kaya, pemimpin kita berwawasan, dan negara selamat.

Premis kecil pula ialah kita tinggal di negara ini, maka kita juga kaya, kita juga selamat dan kita juga (konon-kononnya) berwawasan dan oleh itu kita juga makmur.
Akhirnya, pelajar menjadi selesa.
Secara tidak langsung, maka di sekolah-sekolah kita diajar logik-logik yang seperti ini.

Pada hakikatnya, kesedaran politik berkali-kali ganda lebih hebat daripada kesedaran untuk survival.

Inilah bahayanya priming, ideologi, propaganda, pemujukan dan framing kalau tidak disalurkan kepada tujuan yang sebenar-benarnya dalam sistem pendidikan.

Tanpa kita sedari, dalam satu persekitaran pembelajaran di dalam bilik darjah, berlaku fenomena petitio principii, atau kebenaran kepada sesuatu kesimpulan tidak dibuktikan dengan bersungguh-sungguh, kecuali sekadar menjangkakan kebenaran itu di bahagian-bahagian tertentu penghujahan.

Hal ini menyebabkan berlaku salah tanggapan di kalangan pelajar.Sebagai contoh, kita menceritakan secara terperinci apa yang boleh kita beli dengan duit yang banyak, tetapi tidak boleh dihuraikan bagaimana untuk mendapat duit yang banyak.

Begitu juga adakalanya berlaku ungkapan samar atau ekuivokasi dalam aktiviti-aktiviti pendidikan.Sebagai contoh kita mengadakan aktiviti Bulan Kemerdekaan di sekolah.
Kita mengarahkan pelajar membuat bendera terpanjang, sambil berkata, nanti nama sekolah kita naik atau nanti nama kelab pengawas harum kerana tercatat dalam Malaysian Book of Records atau sebagainya.

Kita tidak berkata, "Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara, dan siapnya sebuah bendera terpanjang bermakna kita mendaulatkan Jalur Gemilang dengan cukup bersungguh-sungguh."

Falasi yang paling nyata dan kerap berlaku ialah non sequitur, atau secara literalnya boleh diterjemahkan sebagai "ia tidak sepatutnya begitu."
Lihat contoh berikut:
"Kamu akan gagal kalau tidak belajar bersungguh-sungguh; sekolah ini akan berasa malu kerana peratusan lulus pelajarnya akan jatuh."Barangkali kita setuju dengan kebenaran kenyataan kedua, tetapi ia tiada apa-apa kaitan dengan kesimpulannya.
Begitu juga, fenomena non sequitur berlaku apabila sistem pendidikan hendak melahirkan pelajar yang holistik dan menyeluruh, namun pentaksiran peperiksaan lebih berminat untuk menguji pengetahuan dan kemahiran, dan menekankan format.
Selain itu, kerap juga berlaku kesalahan analogi.

Kita bukan menjadikan analogi sebagai percontohan, tetapi sebagai bukti.
"Kamu jangan degil, nanti kamu jadi seperti Ali, dulu rajin kemudian malas, dan akhirnya gagal seperti kamu."Lebih baik ditunjukkan markah yang merosot berbanding menjadikan orang lain sebagai contoh yang negatif.Malah guru meminta muridnya diam, dan mengherdik:"Saya suruh diam kenapa tidak mahu diam? Saya belasah nanti baru awak tahu. Sekarang banyak kes belasah-membelasah di asrama penuh."
Guru salah mengaitkan kata kerja belasah dengan motif asalnya, iaitu meminta pelajar diam, dan kes gangsterisme di sekolah berasrama.

Kita sering juga menunjukkan kejahilan terhadap bukti. Fenomena Ignorantio Elenchi ini berlaku kerana kita kekurangan fakta atau kemahiran untuk membuktikan sesuatu.
Sebagai contoh, kita hendak membuktikan bahawa malas menyebabkan kegagalan. Kita mengemukakan statistik pelajar malas dengan keputusan peperiksaan mereka.
Tetapi, kita tidak menghuraikan bagaimana malas boleh menyebabkan pelajar gagal.
Bagaimana kita mentamsilkan kejayaan akademik dengan objek lain, selain daripada RM, merupakan perkara yang harus difikirkan bersama-sama.
Kita sebenarnya masih tercari-cari rumus yang sesuai supaya pelajar berminat datang ke sekolah dan mahu belajar bersungguh-sungguh.

No comments:

Post a Comment