CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Wednesday, April 22, 2009

Hukum Cabut Bulu Kening

Oleh : Mohd. Farid Ravi Abdullah
Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Sunnah,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)


SOALAN:
Adakah berdosa sekira seorang wanita membersihkan bulu kening dengan mencabut bulu kening yang bertaburan di atas kelopak mata?. Dalam perkara ini wanita itu tidak mencabut bulu kening sehingga cuma tinggal segarisan sahaja atau langsung hilang keningnya. Ia cuma untuk mencabut bulu kening yang bertaburan di atas kelopak mata bagi nampak kemas.

Jawapan:
Tidak berdosa sekiranya untuk memperbetulkan atau mengelokkan dengan membuang atau mencabut bulu yang bertaburan di atas kelopak mata. Ini akan saya jelaskan pada perbincangan dalil-dalil yang berkaitan dengan persoalan ini.

Sebelum berbincang lebih jauh elok kalau kita lihat dulu asas kepada perkara ini. Wanita dalam bahasa arab di sebut dengan perkataan al-Mar'ah yang bermaksud suatu yang dipandang atau dilihat.

Kecantikan seseorang itu bermula dengan wajahnya. Sebab itulah kaum wanita amat mengambil berat mengenai kecantikan, terutamanya kecantikan wajah kerana wajah yang pertama dipandang orang apabila berjumpa. Oleh itu, ramai di kalangan wanita sanggup membelanjakan wang beribu ringgit untuk tujuan mencantikkan wajah.

Salah satu bahagian yang menjadi tumpuan pengubahsuaian bagi kaum hawa ini ialah kening. Sehingga persoalan kening begitu mendapat perhatian dalam Islam, terutamanya melalui hadis-hadis Rasulullah SAW.

Tidak dinafikan bahawa ada di kalangan kaum wanita yang keningnya bermasalah dari segi lebat atau nipisnya atau bulu kening bersambung antara kening kanan dan kiri.
Setiap manusia mahu dia tampil secara sempurna dan tidak menyakitkan mata orang yang memandang, apatah lagi menjadi perhatian sehingga membawa kepada suara-suara sumbang yang memperkatakan bulu keningnya.

Kaum wanita memang cerewet mengenai kecantikan wajah, dan tidak mahu wajahnya mempunyai cacat cela. Untuk mengatasi sebarang kekurangan kaum hawa ini akan berusaha untuk memperbaikinya. Sehingga kadang-kala mengenepikan tuntutan agama demi kepuasan diri sendiri tanpa mempedulikan apa kata agama dalam persoalan mencukur dan membentuk kening yang tajam, atau dicukur kening yang asal kemudian diganti dengan kening yang dilukis dengan pencil celak.

Di dalam kitab kitab-kitab hadis ada empat hadis yang membawa makna yang sama pada asasnya, namun setiap nas ada perincian yang membolehkan penghasilan hukum dalam persoalan yang dibincangkan.

Perkara ini membabitkan satu riwayat berkaitan dengan riwayat Imam Al-Tabari, bahawa isteri Abu Ishaq pergi ke rumah Aisyah Ummul-Mukminin, isteri Rasulullah SAW. Pada waktu itu rupa parasnya sangat jelita. Beliau lalu bertanya kepada Aisyah r.a mengenai hukum seorang wanita yang membuang bulu-bulu yang terdapat di dahinya untuk tujuan menambat hati suaminya.

Aisyah r.a menjawab: "Hapuskanlah kejelekan yang ada pada dirimu sedaya yang kamu mampu". Imam Nawawi berpendapat sesungguhnya jawapan Aisyah kepada wanita itu membawa maksud wanita boleh bersolek untuk suami, boleh merawat muka untuk menghilangkan kejelekan seperti jerawat, jeragat dan bintik-bintik.

Jelas di sini adanya keharusan untuk mengelokkan wajah dengan membersihkan wajah daripada bulu-bulu yang tumbuh di kawasan kelopak mata atau di kawasan yang tidak sewajarnya.

Ini kerana wanita yang normal pastinya kening berbulu tetapi sudah tidak normal kalau dahinya atau kelopak matanya yang berbulu.

Daripada Abdullah bin Masud, daripada Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah."

(riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud)


Ibn Hajar pula berpendapat, ia bermaksud wanita yang mencabut bulu-bulu di muka dengan alat pencabut.

Pendapat ini perlu kepada perincian kerana lafaz dalam pandangan ini ialah mencabut bulu. Mengikut biologi kejadian manusia satu-satu kawasan yang ditumbuhi bulu di wajah wanita ialah kening. Jadi lafaz mencabut bulu di wajah maksudnya kening, ini kerana kening adalah sebahagian daripada wajah, bukannya wajah sebahagian daripada kening.

Kalau difahami secara zahir pastinya apa-apa sahaja yang tumbuh di wajah wanita tidak boleh dicabut, termasuklah kalau ada bulu yang tumbuh di pipi, di dagu, atau tumbuh misai kerana semua ini tumbuh di wajah.

Sehingga keharusan diberikan kepada mereka yang mempunyai bulu kening yang panjang atau lebat untuk dipendekkan dan dikemaskan. Perbuatan yang ditegah dan dihukum haram adalah ke atas mereka yang mencukur habis bulu kening kemudian melukisnya dengan pencil celak. Maka golongan ini sebenarnya yang dimaksudkan oleh hadis-hadis Rasulullah SAW yang dianggap sebagai kaum yang mengubah ciptaan Allah SWT.

Saturday, April 18, 2009

AIRMATA RASULULLAH SAW................

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seseorang yang berseru mengucapkan salam.
"Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan.

Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah.

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu.

Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini."

Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, karena sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.

"Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku" - yang bermaksud peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan.

Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. Rasulullah SAW mengucapkan "Ummatii, ummatii, ummatiii" - yang bermaksud "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai dirinya "Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi" seperti Betapa cintanya Rasulullah kepada kita?

Saturday, April 11, 2009

PEPATAH 1

Berikanlah hatimu kepada seluruh manusia,
niscaya mereka memberikan hati mereka sepenuhnya kepadamu.



Hiduplah sesuka hatimu, sesungguhnya kamu pasti mati. Cintai siapa saja yang kamu senangi, sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya. Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, sesungguhnya kamu akan memperoleh balasannya.


Makanlah sesuai selera Anda dan berpakaianlah sesuai selera orang lain.



Barangsiapa membiasakan dirinya melakukan sesuatu, maka ia akan terbiasa melakukannya.


Berbakti kepada kedua orang tua menyebabkan kebahagiaan.

DOA MESYUARAT



Ya ALLAH, kami mohon limpah kurnia dan ehsanMu, anugerahkan kami ilmu yang bermanfaat, hati yang khusu'. amalan yang Engkau terima, rezeki yang luas, jalan yang lurus yang Engkau redhai, bukakanlah pintu hati kami, agar kami sentiasa mendapat taufiq dan hidayah, mampu membuat keputusan dengan tepat, selari dengan kehendakMu ya Allah, untuk membina insan rabbani yang berkualiti dan masyarakat cemerlang, di samping memperoleh rahmat dan keredhaanMu.
Ya ALLAH, terimalah segala kerja dan khidmat bakti kami dengan sempurna, sebagai amal ibadat kami kepadaMu.

BILA DOA MUDAH & CEPAT DIKABULKAN?

Berdoa merupakan salah satu daripada elemen yang penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Ia adalah pengakuan hamba terhadap kekuasaan Allah yang mutlak ke atas segala yang berlaku, manakala dari segi yang lain pula ia adalah bentuk pengabdian seorang hamba kerana hadirnya perasaan berhajat kepada Allah Subahanahu Wataala.

Sementara itu doa adalah penggerak dalaman yang memberikan kekuatan, keyakinan, harapan dan keberkatan dalam apa jua amal perbuatan. Maka tidak hairan di dalam Islam setiap langkah sesuatu perbuatan, ada doa-doa tertentu yang digalak supaya diamalkan sama ada sebelum memulakan sesuatu perbuatan ataupun selepas melakukannya.

Kelebihan atau fadhilat doa itu pula amat besar dan banyak sekali. Melalui doa, keampunan dan rahmat diperolehi, dan melalui doa juga musibah dan kesusahan terhindar. Pendeknya, jika Allah menghendaki dan merestui doa hambaNya, tiadak ada satu daya kuasa pun yang dapat menghalangnya dan Allah tidak akan mensia-siakan keikhlasan orang yang berdoa itu.

Persoalan yang timbul sekarang ini ialah bilakah waktunya doa mudah dan cepat dikabulkan?

Apabila seorang hamba berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan doanya dan tidak akan membiarkan doanya itu kosong sahaja. Tetapi perlu diingat bahawa untuk mendapat doa yang dimakbulkan, adab-adab atau peraturan berdoa mestilah dipelihara oleh setiap orang yang berdoa.

Di antara tuntutan dan etika berdoa itu ialah:

* Memelihara sumber rezeki seperti makan, minum dan pakaian daripada sumber yang haram.

* Berwudhu dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah serta berselawat kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

* Berdoa dengan jalan bertawassul dengan amal salih.

* Berdoa dengan mengadap qiblat dan mengangkat dua tangan sekira-kira nampak putih ketiak dan menyapu kedua tapak tangan ke muka setelah selesai berdoa.

* Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan.

* Berdoa dengan disertai keredhaan hati, khusyuk jiwa yang tulus ikhlas, merendahkan suara di antara berbisik dan nyaring dan diiringi dengan perasaan takut terhadap azab Allah dan penuh harapan dengan limpah kurniaNya.

* Tidak berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya.

* Berterusan berdoa dan mengulang-ulang doa sebanyak tiga kali dan tidak berputus asa serta tergesa-gesa dengan menganggap doa tidak dikabulkan.

* Memilih dan mengutamakan waktu-waktu dan tempat atau ketika doa mudah dan cepat dikabulkan. Diantaranya:

i. Di satu pertiga akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardhu.

ii. Ketika Lailatulqadar.

iii. Hari Arafah.

iv. Di bulan Ramadhan.

v. Hari dan malam Jummat.

vi. Di antara azan dan iqamah.

vii. Ketika berhadapan dengan musuh di dalam peperangan.

viii. Ketika sujud di dalam sembahyang.

xi. Ketika mendengar kokokan ayam.

x. Ketika waktu hujan.

xi. Ketika meminum air Zam-Zam.

xii.Ketika membaca al-Qur’an terutama apabila khatam.

xiii Di tempat-tempat yang mulia kerana keberkatan dan kemuliaannya yang dikurniakan oleh Allah seperti di Masjid Al-Haram, masjid An-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.

Begitulah etika dan waktu doa mudah dimakbulkan. Berdoa menunjukkan ingatan kepada Allah yang Maha Berkuasa. Mengingat Allah hendaklah dilakukan pada setiap masa, sama ada di waktu senang mahupun susah. Begitulah juga dengan amalan berdoa, hendaklah dilakukan setiap masa, lebih-lebih lagi di waktu senang dan susah doa akan mudah diperkenankan.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu anhu

Maksudnya : "Sesiapa yang suka supaya dikabulkan doanya oleh Allah di waktu kesulitan dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa di waktu sengan".

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)